Langkau ke kandungan utama

Bahasa Jiwa Bangsa


Kelmarin saya mengunjungi seorang kawan sekolah rendah saya kerana menghantar buku-buku yang dia pesan untuk bacaan anak remaja dia. Katanya, untuk menambah baik kemahiran BM anaknya. Sebenarnya, tak ramai kawan saya beli buku terbitan JS dan Adiwarna untuk anak-anak mereka. Jadi saya agak terharu jugalah apabila ada kawan yang beli. Tambahan pula yang beli kelmarin tu berbangsa Cina.

Sudah lama saya tak berjumpa dengan kawan saya ni. Sebab selepas sekolah rendah, dia memasuki sekolah sains manakala saya pula terus bersekolah di kampung. Maklumlah dia dapat 4A dalam Ujian Penilaian Darjah Lima dan saya hanya dapat 3A saja.
Mujurlah ada FB dan grup whatsApp, maka ikatan persabahatan itu  bersambung semula. Ni kali kedua, dalam masa 40 tahun kami bertemu. Kali pertama, empat tahun lepas ketika kami buat ‘mini reunion’ kelas kami dulu. Tapi walau lama tak jumpa, tetaplah kami boleh sembang mesra. Tak kekok.

Macam-macamlah kami sembang, tapi ada satu yang saya tertarik dan ingin berkongsi dengan saudara/i. Kata dia, orang Kelantan ni spesial sebab boleh berkawan mesra tanpa mengira kaum. Saya setuju dengan dia, saya ada beberapa orang kawan baik berbangsa Cina dan India. Berkawan dari zaman sekolah atau universiti sampai sekarang. Lalu saya pun tambah, orang Kelantan ni spesial sebab ramai yang mengidentitikan diri sebagai orang Kelantan. Bab bangsa jatuh nombor dua. Klate kito!

Balas dia, mungkin sebab orang Kelantan bercakap dalam bahasa yang sama – bahasa Klate. Tak kira Melayu, Cina, India atau Siam. Sudah tentu saya setuju dengan pendapat dia itu. Malah saya pernah tulis itu dalam novel Gedebe tentang perpaduan orang Kelantan ialah kerana penggunaan bahasa yang sama.

Seperti kata novelis Khaled Housseni, “Jika budaya ialah rumah maka bahasa ialah kunci pintu untuk masuk ke dalam rumah itu.” Kalau rakyat berbilang kaum saling tak memahami, masing-masing akan selalu merasa curiga pada kaum lain. Rasa takut, rasa benci, rasa tak percaya... dan semua rasa yang negatif-negatif belaka. Lalu bagaimana nak bersatu. Hanya apabila kita saling memahami; budaya dan adat resam, barulah jurang perbezaan antara manusia itu menjadi semakin kecil. Kalau tak rapat pun atau tak berkawan pun, sekurang-kurangnya kita saling menghormati. Itu sudah cukup untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Maka, mahu tak mahu, saya rasa kita patut menggunakan satu bahasa saja.

Di sini, saya bukanlah nak bercakap soal kita mesti menggunakan hanya bahasa Melayu. Nak guna bahasa Inggeris pun terpulang la. Saya dah bosan berdebat soal penggunaan bahasa ni. Bagilah hujah macam mana pun, buat penat saja. Masing-masing tak akan berganjak daripada pendirian. Pemilihan bahasa pengantar di Malaysia ni, pada saya itu keputusan politik. Setakat saya duk baca cakap-cakap para pemimpin politik maka saya buat kesimpulan kalau BN memerintah dasar sekarang akan diteruskan. Kalau PH memerintah mungkin Sains dan Matematik akan kembali ke dalam bahasa Inggeris. Kalau GS memerintah, saya dengar presidennya kata nak daulatkan lagi bahasa Melayu. Apa pun, terserahlah... pada orang-orang bijaksana itu untuk mencorakkan penggunaan bahasa negara ini.

Di sini saya hanya beritahu, saya percaya perpaduan mudah dipupuk kalau rakyat sesebuah negara itu menggunakan satu bahasa. Terutamanya kalau rakyat itu merasa bahasa itu sebahagian daripada dia.  Sebab, seperti kata Nelson Mandela, "Jika anda bercakap dengan manusia dalam bahasa yang difahaminya, percakapan itu akan masuk ke dalam kepalanya, tapi jika anda bercakap dengan manusia dalam bahasa manusia itu, percakapan itu masuk ke dalam hatinya.”

Dan di Kelantan, bahasa Klate bukanlah bahasa asing pada orang-orang bukan Melayu. Orang Kelantan, tanpa mengira kaum, boleh berfikir dan bermimpi dalam bahasa Klate.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Saya IMAEN

Selamat datang ke blog baharu saya...  Tak tahulah, sama ada kerana saya dah lama tak menulis di blog lama atau kerana masalah teknikal, saya tak boleh nak letak entri di blog imaen.blogdrive.com itu. Lalu saya buat keputusan untuk buat blog baharu saja. Tambah pula orang kata blogspot 'mesra pengguna'. Hampir sepuluh tahun blog lama saya tu dan bersamanya saya ada lebih kurang sepuluh buah novel/novelet (tak termasuk novel kanak-kanak). Saya harap, bersama blog baharu ni, buku saya akan bertambah lagi. Saya juga harap, bersama blog ni, saya akan kembali aktif menulis...