Kelmarin
saya mengunjungi seorang kawan sekolah rendah saya kerana menghantar buku-buku
yang dia pesan untuk bacaan anak remaja dia. Katanya, untuk menambah baik
kemahiran BM anaknya. Sebenarnya, tak ramai kawan saya beli buku terbitan JS
dan Adiwarna untuk anak-anak mereka. Jadi saya agak terharu jugalah apabila ada
kawan yang beli. Tambahan pula yang beli kelmarin tu berbangsa Cina.
Sudah
lama saya tak berjumpa dengan kawan saya ni. Sebab selepas sekolah rendah, dia
memasuki sekolah sains manakala saya pula terus bersekolah di kampung.
Maklumlah dia dapat 4A dalam Ujian Penilaian Darjah Lima dan saya hanya dapat
3A saja.
Mujurlah
ada FB dan grup whatsApp, maka ikatan persabahatan itu bersambung semula. Ni kali kedua, dalam masa
40 tahun kami bertemu. Kali pertama, empat tahun lepas ketika kami buat ‘mini
reunion’ kelas kami dulu. Tapi walau lama tak jumpa, tetaplah kami boleh
sembang mesra. Tak kekok.
Macam-macamlah
kami sembang, tapi ada satu yang saya tertarik dan ingin berkongsi dengan
saudara/i. Kata dia, orang Kelantan ni spesial sebab boleh berkawan mesra tanpa
mengira kaum. Saya setuju dengan dia, saya ada beberapa orang kawan baik
berbangsa Cina dan India. Berkawan dari zaman sekolah atau universiti sampai
sekarang. Lalu saya pun tambah, orang Kelantan ni spesial sebab ramai yang
mengidentitikan diri sebagai orang Kelantan. Bab bangsa jatuh nombor dua. Klate
kito!
Balas
dia, mungkin sebab orang Kelantan bercakap dalam bahasa yang sama – bahasa
Klate. Tak kira Melayu, Cina, India atau Siam. Sudah tentu saya setuju dengan
pendapat dia itu. Malah saya pernah tulis itu dalam novel Gedebe tentang
perpaduan orang Kelantan ialah kerana penggunaan bahasa yang sama.
Seperti
kata novelis Khaled Housseni, “Jika budaya ialah rumah maka bahasa ialah kunci
pintu untuk masuk ke dalam rumah itu.” Kalau rakyat berbilang kaum saling tak
memahami, masing-masing akan selalu merasa curiga pada kaum lain. Rasa takut,
rasa benci, rasa tak percaya... dan semua rasa yang negatif-negatif belaka.
Lalu bagaimana nak bersatu. Hanya apabila kita saling memahami; budaya dan adat
resam, barulah jurang perbezaan antara manusia itu menjadi semakin kecil. Kalau
tak rapat pun atau tak berkawan pun, sekurang-kurangnya kita saling
menghormati. Itu sudah cukup untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Maka,
mahu tak mahu, saya rasa kita patut menggunakan satu bahasa saja.
Di sini,
saya bukanlah nak bercakap soal kita mesti menggunakan hanya bahasa Melayu. Nak
guna bahasa Inggeris pun terpulang la. Saya dah bosan berdebat soal penggunaan
bahasa ni. Bagilah hujah macam mana pun, buat penat saja. Masing-masing tak
akan berganjak daripada pendirian. Pemilihan bahasa pengantar di Malaysia ni,
pada saya itu keputusan politik. Setakat saya duk baca cakap-cakap para
pemimpin politik maka saya buat kesimpulan kalau BN memerintah dasar sekarang
akan diteruskan. Kalau PH memerintah mungkin Sains dan Matematik akan kembali
ke dalam bahasa Inggeris. Kalau GS memerintah, saya dengar presidennya kata nak
daulatkan lagi bahasa Melayu. Apa pun, terserahlah... pada orang-orang
bijaksana itu untuk mencorakkan penggunaan bahasa negara ini.
Di sini
saya hanya beritahu, saya percaya perpaduan mudah dipupuk kalau rakyat sesebuah
negara itu menggunakan satu bahasa. Terutamanya kalau rakyat itu merasa bahasa
itu sebahagian daripada dia. Sebab, seperti
kata Nelson Mandela, "Jika anda bercakap dengan manusia dalam bahasa yang
difahaminya, percakapan itu akan masuk ke dalam kepalanya, tapi jika anda
bercakap dengan manusia dalam bahasa manusia itu, percakapan itu masuk ke dalam
hatinya.”
Dan di
Kelantan, bahasa Klate bukanlah bahasa asing pada orang-orang bukan Melayu.
Orang Kelantan, tanpa mengira kaum, boleh berfikir dan bermimpi dalam bahasa
Klate.
Ulasan
Catat Ulasan